Oleh: Dr Mohd Syamirullah
Sejak
seminggu dua ini, di hospital tempat saya bertugas, kami mendapati
peningkatan kes-kes jantung (serangan jantung dan tekanan darah tidak
terkawal), kencing manis (diabetis ketoacidosis dan paras gula tidak
terkawal) yang sangat ketara. Saya sendiri selaku pegawai perubatan
nefrologi (buah pinggang) menerima beberapa kes pesakit buah pinggang
yang berkomplikasi sehingga ada yang terpaksa dihantar ke hospital
besar, bahkan ada yang meninggal dunia.
"Makcik nak makan
durian..dah sembilan tahun sejak dia disahkan menghidapi penyakit buah
pinggang, dia tak pernah sentuh durian. Jadi semalam dia minta kat anak
dia..makan seulas sahaja.. sedar-sedar pagi ini dah keletihan, sesak
nafas, sakit dada." ujar seorang gadis muda, sambil mengurut-urut dada
ibunya yang laju.
Pesakit ini datang ke jabatan kecemasan
dengan bacaan serum potassium setinggi 7.3. Rentak jantungnya (ECG)
menunjukkan sinus arrest, dengan kadar denyutan jantung hanya 32 per
minit. Hemodialisis kecemasan dilakukan, hanya menurunkan bacaan serum
potassium untuk sementara sahaja sebelum kembali meningkat.
Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung (cardiogenic shock).
POTASSIUM
Ada banyak jenis mineral dan garam galian yang diperlukan oleh badan
manusia. Kalsium, fosfat, magnesium, potassium, sodium adalah
diantaranya. Kesemua galian dan garam mineral ini, dikawal kandungan dan
kuantitinya oleh buah pinggang kita. Tidak boleh terlalu kurang, dan
tidak boleh terlalu lebih.
Potassium,
adalah sejenis bahan galian dan unsur elemen yang penting bagi tubuh
manusia. Ia bertanggungjawab ke atas fungsi otot untuk mengecut
(contraction). Kekurangan potassium, dipanggil hypokalemia, contohnya
disebabkan muntah atau cirit birit yang berterusan boleh menyebabkan
seseorang menjadi lemah, sengal dan lenguh seluruh badan, cramping dan
muscle ache (myalgia).
Terlebih potassium pula, dipanggil
hyperkalemia, boleh membahayakan nyawa kerana ia mengganggu fungsi
contraction otot jantung. Hyperkalemia, adalah sebuah medical
emergency yang perlu dirawat SEGERA, kerana ia boleh menyebabkan
cardiac arrhythmia bahkan asystole.
Bagi orang yang mengalami
kegagalan fungsi buah pinggang, khususnya end stage yang bergantung
kepada dialisis, mereka ini tidak lagi boleh menghasilkan air kencing.
Tubuh badan mereka tidak lagi boleh mengeluarkan bahan-bahan kumuh
yang antaranya terdiri daripada garam mineral dan zat yang berlebihan
ini. Dalam kes ini, potassium.
Umum mengetahui, bahawa antara
makanan yang paling banyak mengandungi potassium, adalah pisang. 100
gram pisang, mengandungi 358 mg potassium. Yang keduanya, adalah sayur
bayam (spinach). 100 gram bayam mengandungi 558 mg potassium.
Namun
tak ramai yang mengetahui, dua jenis buah-buahan tempatan kita
sebenarnya mempunyai kandungan potassium yang tinggi. 100 gram durian
mengandungi 436 mg potassium, iaitu lebih tinggi dari pisang. Begitu
juga dengan nangka, 100 gram nangka mengandungi 448 mg potassium,
lebih tinggi dari keduanya.
Atas sebab itulah, saya menggesa
kepada anda yang mengenali sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga,
jiran mahupun rakan yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah
pinggang, khususnya yang bergantung kepada diaisis, agar BERPANTANG
buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.
BERPANTANG
dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak
apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya
sekaligus. Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan
dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg
sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan
makanan high potassium lain seperti yang dinyatakan di atas.
Jangan pula tengahari sudah makan gulai nangka, malamnya hendak menjamah durian pula!
Saya kongsikan di sini, sebuah case study yang berlaku di sebuah hospital di tanah air : http://e-mjm.org/2011/v66n1/Hyperkalaemia.pdf
Bahkan
sebenarnya, KURMA yang kita selalu makan, mengandungi kandungan
potassium yang jauh lebih tinggi. 100 gram kurma mengandungi 656 mg
potassium, hampir dua kali ganda pisang.
Cumanya, kita lazimnya
jarang mengambil kurma dalam kuantiti yang banyak mencecah 100 gram.
Kita biasa makan ketika berbuka puasa dalam jumlah kiraan ganjil
sahaja, kerana itu ia jarang memberi kesan kepada kita.
Namun
awas, kerana mutakhir ini ada banyak produk yang memproses kurma. Ada
yang dijadikan jus yang sudah tentu memekatkan konsentrasi potassium
yang ada didalamnya. Ada yang menjadikannya cokelat, ada yang diproses
dalam minuman seperti kopi dan sebagainya.
Tapi, kurma kan makanan Nabi? Makanan "sunnah"? Mustahil lah ia boleh bawa keburukan.
"Itula dengar sangat cakap doktor ni, doktor ni semua kan belajar ilmu dari yahudi, sampai tak reti nak bezakan mana sunnah. "
Dalam bidang toksikologi, kita ada sebuah prinsip asas yang dipanggil
sola dosis facit venenum, bermaksud "the dose makes the poison."
Kita juga ada dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas
dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan
manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.
Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai kapabiliti tersendiri memproses setiap bahan yang ada.
Bagi manusia yang sihat seperti kita, habiskan sebijik durian pun tak
apa. Kerana buah pinggang kita sihat, ia boleh mengkumuhkan dan
membuang potassium berlebihan.
Tetapi bagi pesakit ESRD, ini
tidak boleh bagi mereka. Mereka tidak boleh mengkumuhkan potassium,
sebab itulah hatta seulas durian pun boleh membahayakan nyawa mereka.
Begitu juga dengan pesakit ESRD dan kegagalan fungsi jantung. Mereka ini, PANTANG air berlebihan.
Air, benda yang bagus bagi manusia. Bahkan kita digalakkan meminum sehingga 4 litre air sehari.
Tetapi ini, tidak benar bagi pesakit ESRD dan CCF. Mereka ini, hanya
dibenarkan meminum sekitar 500ml air sahaja. Sekiranya lebih, air ini
tidak dapat dikumuh keluar dan akan berkumpul di kaki sembab, bahkan
sehingga ke paru-paru menyebabkan sesak nafas.
Begitu
juga contoh seterusnya, nasi untuk pesakit kencing manis. Benar, nasi
tu makanan berkhasiat dan berzat. Namun sudah tentulah pesakit
kencing manis, tidak boleh mentekedarah nasi seperti orang sihat.
Atas sebab itulah, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada kita
semua, agar BERHATI-HATI dengan sesetengah pihak yang bermotifkan
keuntungan menjual "bahan-bahan beracun."
Mereka ini mengambil
kesempatan atas keterdesakan dan atas nama "ikhtiar" seorang pesakit,
serta memanipulasi dan memomokkan dengan ketakutan ke atas "bahan
kimia".
Bahkan ada yang sanggup menggunapakai nama agama.
Arwah seorang ahli keluarga saya sendiri, antara yang terpedaya,
mengamalkan "kopi habbatussauda" kerana terpengaruh dengan dakwaan
penjualnya bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi yang
dihidapinya. Beliau dihasut dengan dakwaan ubat hospital tidak boleh
menyembuhkan, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dsb, dan
disuruh mengamalkan 'perubatan sunnah' iaitu habbatussauda.
Kesudahannya, kombinasi darah tinggi yang tidak terkawal dan faktor
pengambilan kaffein yang berterusan, beliau meninggal dunia akibat
strok (angin ahmar).
Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang
dipanggil "natural" kerana apa yang "natural" bagi seorang, mungkin
menjadi "pathological" bagi seorang yang lain.
Dapatkan
nasihat doktor YANG MERAWAT ANDA, bukannya orang sebarangan, hatta
saya sekalipun sering ditanya di FB "bolehkah saya ambil supplemen
ini", saya tidak akan menjawabnya kerana saya tidak mempunyai maklumat
mengenai kesihatan orang yang bertanya. Saya tidak tahu fungsi buah
pinggang anda normal atau tidak, fungsi hati anda ok atau tidak, apa
masalah kesihatan yang anda ada.
Akhir kata, orang yang
bertanggungjawab atas kesihatan anda, first and foremost adalah diri
anda sendiri. Justeru buatlah pilihan yang selamat dan letakkanlah
kepercayaan kepada orang yang betul. Kerana in the end, yang akan
menanggung kesannya, adalah anda sendiri.
No comments:
Post a Comment