Empat lagi individu yang merupakan jurujual telefon
ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di
Plaza Low Yat pada Sabtu.
Tangkapan terhadap mereka dibuat
sepasukan anggota polis di premis berkenaan petang tadi menjadikan
jumlah keseluruhan mereka yang ditangkap akibat kesalahan merusuh dalam
kejadian itu sebanyak 24 orang.
Jumlah ini termasuk seorang
anggota polis bantuan berpangkat konstabel yang ditahan pada tengah
hari Selasa di sekitar ibu negara.
Menurut sumber polis, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 147 dan 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Anggota berpangkat konstabel itu ditahan reman tiga hari sehingga Khamis ini.
Sementara
itu menurut laporan The Star, ketibaan anggota polis untuk membawa
kira-kira 30 orang mencetuskan panik di premis berkenaan.
Memetik
seorang saksi, polis mula menahan pekerja daripada beberapa kedai
sehingga memaksa kedai yang tidak mempunyai pekerja itu ditutup
sementara.
Keadaan kemudiannya kembali tenang dan terkawal selepas dimaklumkan pengawal keselamatan plaza berkenaan.
Sebahagian besar mereka yang ditahan kemudiannya dibenarkan kembali ke tempat kerja.
Terdahulu
Polis menahan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali
Baharom, kira-kira jam 11.30 pagi Selasa bagi membantu siasatan
berhubung kekecohan di Plaza Low Yat.
Dia yang lebih dikenali
sebagai "Ali Tinju" ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948
kerana membuat ucapan berbaur perkauman di luar plaza itu pada Ahad
malam.
Tangkapan pada Selasa menjadikan keseluruhan individu
yang ditangkap adalah 25 orang membabitkan kesalahan merusuh dan Akta
Hasutan.
No comments:
Post a Comment