Seorang wanita Hampshire ditemui dengan tubuhnya tinggal separuh selepas
dimakan oleh kucing peliharaannya berikutan mayatnya tidak ditemui
selama dua bulan.
Mayat Janet Veal ditemui di dapur kediamannya, dua bulan selepas dia
meninggal dunia bersama sebilangan besar kucing dan anjing yang hidup
dan juga yang sudah mati.
Haiwan berkenaan terperangkap dalam ruang sempit bersama mayatnya dan kemungkinan tidak diberi makan sejak beberapa bulan.
Pegawai polis yang berkunjung ke kediamannya menjelaskan bahawa mayat
wanita berusia 56 tahun itu sudah “digigit dan dimakan” oleh haiwan
peliharaannya.
Jiran tetangga dikatakan sudah memaklumkan kepada polis mengenai Janet selepas mereka tidak melihatnya sejak beberapa lama.
Polis mengesahkan Janet mati secara semula jadi. Rekod perubatannya
mendedahkan Janet menghidap masalah sakit dada dan walaupun bedah siasat
ternyata sukar kerana mayatnya yang sudah reput dan anggota badan yang
hilang, pakar patalogi menyimpulkan bahawa kematian Janet mungkin akibat
penyakit pulmonari kronik.
Pegawai polis Dave Ivey menemui mayat Janet dan menyatakan haiwan
peliharaannya tidak dapat keluar dari tempat di mana mayat wanita itu
ditemui.
Koroner Keith Wiseman berkata, haiwan berkenaan mungkin terkurung di tempat mayat ditemui selama beberapa bulan.
“Jelas sekali bahawa bahagian tertentu mayat Janet hilang dan mungkin digigit serta dimakan haiwan berkenaan.
“Kita dapat bayangkan bagaimana perasaan pegawai polis itu apabila bertemu dengan mayat Janet,” katanya.
Selepas mengesahkan bahawa wanita itu mati secara semula jadi, Wiseman
berkata, tiada tanda menunjukkan bahawa Janet diserang oleh haiwan itu
ketika dia masih hidup.
“Saya yakin Janet mati secara semula jadi kerana tiada bukti menunjukkan
dia diserang oleh haiwan peliharaannya itu,” katanya. -Agensi
No comments:
Post a Comment