S. Suria Narayan.
Kemudian keluarga kami berpindah ke Jalan Laksamana Teluk Intan Perak kerana ibu saya membeli rumah di kawasan tersebut.
Ketika itu saya berusia 18 tahun. Tinggal ditempat baharu tidak mencorakkan warna pelangi yang indah dalam hidup saya. Sebaliknya saya sering dibuli oleh 'kepala' gengster di situ. Sampailah suatu ketika saya dicabar.
"Kalau engkau anak jantan mari kita lawan satu sama satu!" kata Abang Long kepada saya.
Sebagai anak estet yang terbiasa dengan kerja berat, saya menghadapi Abang Long itu dengan mudah.
Bersama seluruh perasaan geram dan marah serta tenaga anak estet, langsung saya bantai Abang Long itu di tengah-tengah anak buahnya yang sekadar jadi penonton.
Oleh sebab malu, dengan muka pecah dan berlumuran darah, Abang Long meninggalkan Jalan Laksamana. Automatik saya dilantik sebagai kepala baru di situ. Mulai saat itu saya belajar menjadi gengster.
Semakin hari kumpulan kami makin besar dan kuat. Berani saya katakan, 'besar' daripada saya belum ada lagi pada masa itu!
Dan tentu Datuk Seri sudah maklum bahawa Jalan Laksamana adalah lokasi kumpulan gengster dan mafia terbesar sekali di negara ini!
Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri, saya masih ingat detik-detik saya ditangkap. Walaupun saya sedar ada sekatan jalan raya di Bidor dan Teluk Intan, saya tetap lalui juga kerana dalam kereta saya tiada dadah dan senjata api. Tapi saya tetap ditahan lalu dibawa ke balai polis.
Di situlah saya difahamkan ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat.
Masa itu umur saya baru sahaja 27 tahun. Saya ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam Johor Baharu.
Tuhan masih sayangkan saya Datuk Seri. Jarak antara Teluk Intan ke Simpang Renggan jauh. Atas kasihkan suami, isteri bersama tiga anak saya serta segunung kebimbangannya menaiki bas pada pukul 9.00 malam dan tiba di Simpang Renggam pukul 4.00 pagi.
Tidurlah isteri dan anak-anak saya dihentian bas itu yang terdedah dengan berbagai-bagai kemungkinan buruk.
Datuk Seri. Antara isteri dan anak-anak kami dipisahkan oleh dinding kaca yang tebal. Kami hanya mendengar suara masing-masing melalui telefon sahaja. Hati suami mana yang tidak luluh apabila melihat isteri tercinta bercucuran air mata.
Penuhlah masa tiga puluh minit dengan tangisan dan keharuan semata-mata. Situasi ini benar-benar menyentuh hati saya. Situasi ini benar-benar menyentuh hati saya. Mulai hari itu saya tidak akan terjebak lagi dalam kumpulan gengster.
Apabila saya keluar dari pusat tahanan, saya bertekad melaksanakan azam baharu. Kedudukan sebagai kepala gengster saya tinggalkan.
"Suria, bolehkah?" tanya orang disekeliling saya. Ini kerana muka saya sudah terpampang di mana-mana sebagai ketua gengster.
Ya benar! Itu dulu! Sekarang saya sudah insaf dan berhenti melakukan kerja-kerja haram itu! Berikan saya peluang untuk masuk semula dalam masyarakat dan berbakti dengan cara saya sendiri!
Tanpa memperdulikan stigma negatif masyarakat, saya belajar mengimpal besi dan kemahiran perpaipan. Kemudian saya menceburi bidang kontraktor. Bermula secara kecil-kecilan hinggalah kini dengan nilai projek berangka tujuh digit.
Datuk Seri. Gengster dahulu tidak sama macam sekarang. Gengster dulu gentleman. Jika timbul ketidakpuasan hati dalam kawasan yang dikuasai mula-mulanya kita buat perbincangan dulu secara baik.
Tak boleh selesai. Masing-masing nak lepaskan geram dan marah. Baik. You cakap pukul berapa mahu jumpa. Baik. Umpamanya Gengster 08. Jumpa pukul 8.00 malam. Kita jumpa di tempat dijanjikan. Berapa orang mahu datang. Tapi tak ada parang, pisau, apatah lagi pistol.
Bila sudah jumpa, kita tak banyak cakap. Baik. Sekarang, kalau you kuat, you bantai saya. Nanti kami bantai you balik. Datuk Seri. Itulah antara cara gengster dulu bertindak.
Sebaliknya gengster moden sekarang suka 'curi makan'. Tiba-tiba serbu musuhnya di ruang awam. Terus cantas pakai senjata tajam. Atau...Dam!! Dam! Tembak terus.
Kenapa perkara ini berlaku Datuk Seri? Sebab sekarang senjata api mudah ditemui. Kenapa begitu mudah senjata api dimiliki di mana-mana sekalipun. Jadi tidak bermakna semua gengster itu memakai senjata api. Penggunaan senjata api oleh penjenayah bukan berpunca daripada gengsterisme.
Maaf Datuk Seri. Berikan masa tambahan kepada saya untuk meluahkan segala yang terpendam di hati. Apabila umur saya semakin bertambah dan punya anak yang sudah besar panjang. Saya jadi risau apabila memikirkan kegiatan gengster seolah-olah tidak dapat dibendung lagi.
Datuk Seri. Sebagai mantan Ketua Gengster 08, saya ingin bertanya. Bagaimana kita dapat tahu terdapat 49 kumpulan gengster dengan jumlah 'ahli berdaftar' seramai 40,313 ribu orang? Tetapi pada masa sama kita gagal membenterasnya!
No comments:
Post a Comment