KUALA LUMPUR: Berapa agaknya yang mampu diraih oleh seorang peminta sedekah dalam masa sehari?
Persoalan itu sering timbul setiap kali saya terlihat golongan peminta
sedekah setiap kali saya berjalan-jalan di mana-mana pelusuk negara,
terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur.
Ini kerana mereka
mendapatkan duit dengan cara mudah tanpa perlu melakukan apa-apa kerja,
termasuk menjual apa sahaja barangan untuk memperoleh pendapatan.
Tiada sebarang kerja dilakukan melainkan duduk atau berdiri menadah tangan semata-mata.
Kini tiba bulan Ramadan, bulan seribu keberkatan, bulan yang dijanjikan
pahala atau ganjaran berlipat ganda kepada setiap amalan yang
dilakukan.
Dan jumlah para peminta sedekah ini menjadi lebih banyak setiap kali tiba Ramadan.
Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat pemurah dan
peramahnya. Ganjaran pahala yang dijanjikan di bulan Ramadan menjadikan
mereka menjadi lebih ringan untuk menghulurkan derma.
Menjadi pengemis
Maka atas dorongan rasa ingin tahu itu, saya cuba menyelami dunia
peminta sedekah dengan ‘menjadi’ salah seorang daripada mereka.
Bermodalkan pakaian compang-camping, seutas beg kitar semula dan bekas
makanan kosong, saya ‘mengemis’ di dua lokasi berbeza di Cheras, Kuala
Lumpur.
Bazar Ramadan Bandar Tun Hussein Onn menjadi tempat
pertama untuk saya mencuba nasib. Selama kira-kira 25 minit, RM22
berjaya dipungut.
“Wah, ini sudah untung!”, berkata saya dalam hati.
Bagaimanapun rezeki di lokasi kedua lebih menguntungkan. Ini kerana penampilan saya sedikit berubah.
Kali ini saya mengenakan kopiah lusuh dan seutas tasbih di tangan yang
digentel-gentel semasa meminta sedekah. Hasilnya, RM56 dalam masa 20
minit sahaja.
Ada juga hamba Allah yang menegur saya:
“Tak kerja ke dik? Badan sihat ni, pergilah cari kerja, cuci pinggan
ke”, katanya sambil tangan turut menghulurkan tiga keping wang RM1 ke
dalam bekas.
Saya hanya mengangguk dan dia terus berlalu pergi.
Jadi, secara keseluruhannya, jumlah yang berjaya dikutip dalam masa lebih kurang 45 minit ‘penyamaran’ itu adalah RM76.
Bayangkan RM76 dalam masa 45 minit! Cuba digandakan dengan 8 jam waktu bekerja sepertimana di mana-mana kerja di negara ini.
RM608. Itu untuk sehari. Gandakan pula dengan 30 hari.
Terus membuatkan saya berfikir, inilah kerja yang mendatangkan hasil
paling lumayan di dunia kerana tanpa berbuat apa-apa, peminta sedekah
mampu meraih pendapatan sebanyak RM18,240!
Wah, berlipat ganda jumlahnya jika nak dibandingkan dengan gaji saya ketika ini!
Nyata penduduk Malaysia sememangnya pemurah dan suka menderma. Satu sikap yang amat saya puji.
No comments:
Post a Comment